Percutian Terindah ke Sabah Bersama Rakan-Rakan Universiti

Pada 18 hingga 22 Mac 2017, saya telah pergi ke Sabah selama 5 hari 4 malam bersama rakan-rakan sekelas, diiringi pensyarah kami, Encik Yaziz Kasim, dengan tujuan lawatan akademik. Antara tarikan yang kami telah lawati di Sabah adalah Ladang Tenusu Desa (Desa Cattle Dairy Farm), Kolam Air Panas Poring, ‘Spa Ikan’ di Tagal Moroli, Pasar Filipino dan banyak lagi. Kami telah menyediakan jadual perjalanan untuk setiap seorang daripada kami untuk sepanjang lawatan ini supaya semua berjalan lancar seperti yang dirancang.

Pada hari pertama, kami telah melakukan lawatan bandar (City Tour), di mana kami sendiri yang menjadi tour guide untuk setiap tempat yang kami lawati. Semestinya, kami telah menelaah tentang tempat-tempat tersebut untuk memastikan maklumat yang diberi adalah tepat. Kami telah pergi ke tempat-tempat menarik di Kota Kinabalu, seperti Tugu Peringatan Double Six, Padang Merdeka Kota Kinabalu, Signal Hill Observatory Tower, Muzium Akuarium & Marin di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan banyak lagi. Objektif utama pada hari pertama lawatan adalah untuk mengenali Sabah dengan lebih mendalam dan mempelajari sejarah mereka.

Akuarium UMS

Pada keesokan harinya, kami mulakan hari dengan penuh bersemangat dan telah pergi menerokai Pasar Tamu Jalan Gaya, Kampung Budaya Monsopiad, Rumah Terbalik dan Muzium 3D. Seperti yang dijangkakan, Pasar Tamu Jalan Gaya sesak dengan manusia termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing. Ini kerana pasar ini hanya dibuka pada hari Ahad dan barangan yang dijual adalah menarik dan kebanyakannya membawa imej dan budaya di Sabah. Pada hari itu, saya berpeluang untuk mempraktikkan kemahiran bahasa Korea saya apabila saya terserempak dengan sebuah keluarga Korea yang datang melancong ke Sabah. Walaupun gugup, saya menerima pujian daripada keluarga tersebut kerana fasih berbahasa Korea.

Rumah Terbalik

Di Monsopiad Cultural Village, kami mempelajari serba sedikit tentang budaya Monsopiad dari pemandu pelancong yang mesra di sana. Kami juga berpeluang untuk belajar menghidupkan api menggunakan kayu dan ranting, mempelajari tarian tradisional dan muzik Monsopiad, dan budaya pemanggalan kepala Monsopiad yang sudah lupus. Sementara itu, di Rumah Terbalik dan Muzium 3D, kami mencipta kenangan yang menyeronokkan dan menarik dengan mengambil gambar dengan seni dan kraf yang dipamerkan.

 

Muzium 3D

Muzium 3D

Pada hari yang ketiga, kami bangun seawal 4.30 pagi dan bersiap sedia untuk perjalanan ke Kundasang. Kami bersarapan pagi di kafe berdekatan pada pukul 6 pagi dan kami kemudiannya dipecahkan kepada dua kumpulan sebelum bertolak dengan dua buah van pada jam 7 pagi.

Kira-kira dua jam kemudian, kami tiba di destinasi pertama kami iaitu Ladang Tenusu Desa (Desa Cattle Dairy Farm). Cuaca pada hari itu agak bagus dan sejuk. Kami dapat menikmati udara segar dan pemandangan indah di sini, yang mana juga dikenali sebagai Little New Zealand di Sabah. Saya juga berkesempatan untuk memberi makan anak lembu dan anak kambing di feeding area dengan bayaran yang rendah.

Selepas itu, kami pergi ke Tagal Moroli ‘Fish Spa’ untuk mendapat rawatan kaki di mana sel-sel mati pada kulit kaki kami telah dimakan oleh ikan Tagal. Ini merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan walaupun terasa sedikit sakit apabila ‘dicium’ oleh ikan-ikan tersebut. Seterusnya kami menuju ke destinasi terakhir kami iaitu Kolam Air Panas Poring dengan tujuan untuk merehatkan minda dan badan kami sebelum kembali ke Kota Kinabalu sekitar pukul 6 petang.

Kolam Air Panas Poring

Pada hari keempat pula, fokus utama kami adalah untuk melaksanakan aktiviti berkaitan dengan Tanggungjawab Sosial Korporat. Kami telah pergi melawat ke Rumah Amal Kasih, sebuah rumah anak yatim di Kota Kinabalu, untuk membantu pemilik rumah tersebut di samping mencipta kenangan yang indah bersama anak-anak yatim yang dibesarkan di rumah itu. Kami turut membantu membersihkan dan mengemas rumah itu dengan pimpinan pemilik rumah itu. Selain itu, kami juga mengambil kesempatan untuk meraikan ulang tahun salah seorang anak di sana. Pemilik rumah itu mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas bantuan kami dan berharap dapat berjumpa dengan kami lagi pada masa lain. Selesai di rumah anak yatim, kami bergerak ke UiTM Sabah untuk Program Pertukaran Kebudayaan dan beramah mesra dengan rakan-rakan dan pelajar pensyarah di sana.

Pada hari terakhir percutian ini, kami mengunjungi Pasar Filipina pada jam 2 petang sementara menunggu waktu penerbangan kami pulang ke Kuching pada pukul 6 petang. Sama seperti Pasar Minggu Gaya Street, pasar ini juga sesak dengan pelancong asing yang datang dari seluruh dunia.

Ini adalah satu tip berguna yang anda boleh aplikasikan jika berkunjung ke pasar itu; Cuba tawarkan lagi harga apabila ingin membeli makanan laut di pasar itu sekiranya harga pertama ditawarkan sangat tinggi.

Kami masing-masing telah membeli cenderamata kecil dan snek tempatan, seperti Kuih Cincin, keropok, ikan masin dan banyak lagi untuk dibawa pulang ke Sarawak dan dikongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan. Syukur, kami tiba di Kuching dengan selamat dan pulang dengan kenangan manis.

About cuti fan

Hi, We are a team of fun loving people wanting to provide you with a great holiday in Sabah and Sarawak and beyond. Come chat with us! Cuti Fan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check your Maths IQ: *