‘Rumah Terbalik’ – Tumpuan Pelancong Terkini di Kuching, Sarawak

Sebelum ini rakyat Malaysia telah dihebohkan dengan wujudnya sebuah ‘rumah terbalik’ yang menjadi tumpuan masyarakat sebagai salah satu tempat yang mesti dikunjungi sekiranya ke Sabah. ‘Rumah Terbalik’ pertama di Malaysia yang dibuka pada tahun 2012 dan terletak di Tamparuli, Sabah ini bukan sahaja berjaya menarik minat rakyat Malaysia malahan juga pelancong antarabangsa, menjadikannya antara hotspot pelancong bagi para pengunjung. Berikutan populariti yang melonjak naik, ‘rumah terbalik’ seterusnya dibuka pula di Penang, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Namun begitu, Sarawak juga tidak ketinggalan dengan fenomena ‘rumah terbalik’ ini dan telah membina sebuah ‘rumah terbalik’ di Kuching. Terletak di pusat bandar Kuching, bersebelahan dengan Tune Hotel, ‘Rumah Terbalik’ yang pertama di Sarawak ini telah secara rasminya dibuka pada 2 Mac 2017. ‘Rumah Terbalik Kuching’ telah dibangunkan oleh Antares Management Company, yang dimiliki oleh Brendan Kon dan dua rakan kongsi lain.Selain terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kaya dengan kebudayaan pelbagai kaum, Sarawak kini melangkah ke arah yang lebih maju dengan melaksanakan pembangunan dari segi tarikan yang berunsurkan seni dan hiburan.

Pengunjung di Rumah Terbalik Kuching

Pengunjung di Rumah Terbalik Kuching

Gambar dari TheBorneoPost.com

 

“Negeri ini mempunyai banyak tarikan, terutamanya dari segi persekitaran semula jadi. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan tempat atau aktiviti hiburan yang boleh dikunjungi atau dilakukan oleh pelancong di sini khususnya yang berkeluarga.

“Termasuk bagi kami penduduk tempatan, apabila ingin membawa keluarga keluar bersiar-siar pada hujung minggu atau semasa hari cuti am, terdapat kesulitan untuk memikirkan tempat-tempat untuk dikunjungi selain Jong Crocodile Farm, Pantai Damai dan pusat membeli-belah, kerana tidak banyak tempat-tempat yang menyeronokkan yang ditawarkan di sini,” kata Brendan Kon, ketika ditemuramah pada 26 Februari 2017 lalu.

 

Brendan Kon dan Dato Lim Kian Hock di Rumah Terbalik Kuching

Brendan Kon dan Dato Lim Kian Hock di Rumah Terbalik Kuching

Gambar dari TheBorneoPost.com

 

Menurut pengasas syarikat Antares Management, Brendan Kon, idea pembinaan ‘Rumah Terbalik Kuching’ itu diperoleh hasil daripada pengalamannya melancong di dalam dan luar negara yang ada menawarkan tempat tarikan rumah terbalik. Pembinaan mengambil kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan dibuka kepada orang ramai pada 25 Feb 2017.

Pembinaan ‘Rumah Terbalik Kuching’ ini bertujuan untuk memberi pengalaman yang seronok dan menarik, terutamanya bagi pelancong asing yang datang ke Sarawak selain mencipta memori yang indah untuk para pengunjung. Pengunjung sasaran tarikan ini adalah kalangan keluarga dan anak-anak muda yang suka mengambil gambar.

Memasuki ‘Rumah Terbalik Kuching’ ini, para pengunjung akan mendapati bahawa kesemua semua perabot dan dekorasi dalaman rumah dipasang ‘terbalik’, seiringan dengan konsep tarikan tempat tersebut. Idea dan reka bentuk rumah itu datang daripada Brendan Kon sendiri dan barang-barang yang digunakan pula diperolehi daripada pelbagai kedai perabot tempatan. Beliau juga telah mendapatkan khidmat kontraktor tempatan untuk melaksanakan projek ini dengan jayanya.

 

Pengunjung di Rumah Terbalik Kuching

Pengunjung di Rumah Terbalik Kuching

Gambar dari TheBorneoPost.com

 

Di kawasan penerimaan tetamu, terdapat gerai makanan kecil-kecilan untuk kemudahan pengunjung membeli snek-snek, dan di dalam rumah tersebut, pengunjung akan dapat melihat keseluruhan bahagian rumah termasuk kawasan bacaan, ruang tamu, perpustakaan mini, meja makan, dapur, kawasan dobi, bilik tidur utama, tandas, bilik kanak-kanak, kawasan permainan dan pejabat rumah.

Harga tiket untuk setiap orang dewasa dan kanak-kanak bagi pelancong asing (bukan pemegang Mykad) masing-masing berharga RM20 dan RM15. Sementara harga tiket untuk warga Malaysia (pemegang Mykad) adalah RM15 bagi setiap orang dewasa, dan RM10 bagi setiap kanak-kanak. Rumah terbalik ini dibuka setiap hari mulai pukul 9.30 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 7 malam.

Kemasukan ke ‘Rumah Terbalik Kuching’ dihadkan maksimum 30 orang dalam satu masa bagi memberi ruang kepada pengunjung untuk mengambil gambar dengan baik.

Ini merupakan projek pertama syarikat itu yang berasaskan seni dan hiburan, dan Brendan Kon berharap untuk mendapatkan sokongan daripada pihak kerajaan negeri untuk membangunkan lebih banyak tempat yang menarik di seluruh negeri Sarawak.

About cuti fan

Hi, We are a team of fun loving people wanting to provide you with a great holiday in Sabah and Sarawak and beyond. Come chat with us! Cuti Fan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check your Maths IQ: *